Tuesday, August 25, 2009

Keratan Akhbar Harian Metro @ BT Big Game


PENAMPILAN dan gaya mereka saling tak tumpah seperti satu pasukan elit tentera yang sedia bertempur dengan musuh di medan perang.

Itulah keunikan dan tarikan ketika berkesempatan menyaksikan kira-kira 100 pemain ‘paintball’ bermain senario (scenario) paintball atau woodsball di Paintball Valley, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam, baru-baru ini.

Sekalipun sekadar satu permainan senjata bebola warna, aksi pertempuran mereka ketika saling berbalas tembakan persis pertempuran sebenar.

Yang menarik, semua pemain paintball yang datang dari seluruh Malaysia menempa sejarah tersendiri apabila secara langsung terbabit dengan acara Paintball Global BT Big Games (BTBG) 2009 yang diadakan serentak di 82 lokasi seluruh dunia membabitkan penyertaan 6,000 pemain.

Pastinya ia memberi pengalaman berharga buat pemain yang menyertai acara paintball untuk tujuan pertunjukan di peringkat antarabangsa itu, tambah pula ia pembabitan pertama negara sebagai satu lokasi program dianjurkan pengeluar peralatan paintball terkenal, BT International.

Antara kumpulan paintball terkenal dalam negara yang menyertai BTBG adalah ML Tank Corps, Unknown, PBM, Sleeping Fox, UKGG, Malcon, Regiment 66, Hammer, Marauders, Funny Farmers, Traitors dan Flankers.

Penuntut, Md Nabil Md Nassir, 22, dari Kumpulan Unknown, berkata dia teruja sepanjang menyertai BTBG kerana ia bukan saja membabitkan ramai pemain paintball, malah dimainkan dengan pelbagai misi dan meliputi kawasan luas iaitu 20 ekar.

Lagi pula, katanya, pelbagai prop atau barangan tiruan tambahan disediakan di sekitar tapak permainan seperti kubu pertahanan, menara dan perkampungan perang yang direka mirip dengan situasi sebenar ketika peperangan.

“Ia memang menyeronokkan dan saya berasa diri bagai askar. Misi kami juga mencabar kerana ‘peperangan’ berlaku antara kumpulan besar serta meliputi kawasan luas.

“Tambah pula, BTBG dijalankan serentak di seluruh dunia dan ia seolah-olah membuatkan kami berdepan peperangan besar. Ia banyak memberi pengalaman baru dan memberi kepuasan maksimum kepada saya,” katanya yang belajar di Sekolah Kejuruteraan Audio.

Sedikit mengenai BTBG, walaupun sekadar permainan untuk tujuan pertunjukan, ia antara usaha BT menghargai pengusaha padang permainan dan pemain paintball di seluruh dunia.

Antara negara yang terbabit dalam BTBG adalah Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Itali, Perancis dan Afrika Selatan selain Malaysia. Di Malaysia, BTBG dikendalikan oleh Delta Paintball Malaysia Sdn Bhd (DPSB).

Daripada 6,000 pemain seluruh dunia yang bermain untuk BTBG, ia dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Red Rangers dan Blue Batalion.

Format permainan adalah menaikkan bendera kumpulan masing-masing dalam sesuatu misi dan mencari barang tersembunyi dengan konsep ala mencari harta karun.

Pelajar dan pemain baru kumpulan Unknown, Muhd Asyraaf Md Nizam, 15, dari Bagan Datoh, Perak berkata, perkara penting perlu ditekankan dalam format permainan kategori senario atau woodsball adalah kerjasama tinggi di kalangan pemain, fokus dan mengikut strategi permainan.

Katanya, daripada segi teknik permainan, terutama ketika melakukan serang hendap atau mempertahankan kubu masing-masing, pemain perlu merancang dengan teliti setiap tindakan diambil.

“Tidak boleh membabi buta melakukan serangan kerana ia memudahkan musuh membalas serangan. Jika silap percaturan, kita boleh terperangkap dengan strategi lawan hingga memudahkan kita ditawan musuh.

“Itu yang menarik mengenai permainan ini. Ia bukan sekadar untuk berseronok, tapi turut membuat saya rasa bagaikan dalam situasi perang sebenar,” kata pelajar Sekolah Menengah Agama Irshadiah, Bagan Datoh itu.

Peniaga, Rahim Razali, 37, dari kumpulan Unknown dan lebih lima tahun bermain paintball berkata, selain untuk rekreasi, paintball juga membentuk aspek kepemimpinan dalam diri seseorang.

“Ia (bermain paintball) mampu membentuk peribadi seseorang kerana permainan ini mementingkan kerjasama berpasukan, mematuhi ketua kumpulan dan membentuk disiplin diri.

“Selain itu, ia membantu remaja menyertai aktiviti lebih berfaedah daripada terbabit dengan pelbagai gejala negatif lain,” katanya.

Sementara itu pengurus DPSB, Roslin Abu, yang bertanggungjawab menjayakan BTBG berkata, permainan paintball kini semakin mendapat sambutan orang ramai.

“Ada lebih 40 padang permainan di seluruh negara. Ini petanda positif dalam pembangunan sukan dan permainan paintball sendiri.

“Dengan adanya pelbagai aktiviti dan pertandingan membabitkan paintball, sama ada tempatan dan antarabangsa, ia sedikit sebanyak menjadi pengisian positif buat remaja dan bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.

>Info

  • Paintball mulanya dikenali sebagai permainan ‘survival’ dan artikel mengenainya ditulis dalam majalah Sport Illustrated di Amerika Syarikat (AS) pada Jun 1981

  • Paintball diperkenalkan 12 pelopor di kalangan penulis, wartawan, peladang dan golongan profesional yang bermain permainan itu pada 2 Jun 1981. Antaranya Bob Jones, Ronnie Simpkins, Jerome Gary dan Carl Sandquist

  • Senjata paintball atau marker yang dikeluarkan Nelson Paint Company asalnya digunakan untuk pertanian dan penternakan, iaitu bagi menanda binatang ternakan dan pokok

  • Permainan paintball di peringkat antarabangsa dimainkan dalam pelbagai kategori, antaranya Capture the Flag, Elimination, King of the Hill, Zombie, Speedball, Tag dan Ironman

  • Di AS, pemain profesional dan terbaik dunia, Oliver Lang menandatangani kontrak tiga tahun bermula 2007 bersama Los Angeles Ironmen dan menerima bayaran RM352,113

  • Di Malaysia, paintball mula dipopularkan awal 2000 dan kini antara negara yang aktif memainkan permainan itu di rantau ini

  • Paintball Global BT Big Games (BTBG) julung kali diadakan di Malaysia membabitkan permainan serentak paintball di 82 lokasi di seluruh dunia

  • BTBG yang berlangsung di Malaysia dikendalikan Delta Paintball Malaysia Sdn Bhd (DPSB) yang beroperasi di Paintball Valley, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam
  • No comments: